Kes jenayah berat turun 17 peratus
2011/03/10
KES jenayah berat di negara ini menurun empat hingga 17 peratus dalam tempoh 2007 hingga 2010, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.Katanya, sebanyak 1,405 kes jenayah berat direkodkan pada 2006 tetapi jumlah itu merosot enam peratus kepada 1,321 kes pada 2007, 1,264 (2008), 1,096 (2009) dan 912 (2010).
Sementara itu, pada sidang media kemudian, beliau berkata, kerjasama strategik antara PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan meliputi penggunaan kem tentera untuk melatih dan merekrut anggota polis, mengadakan rondaan bersama serta menyerap bekas anggota tentera ke dalam perkhidmatan polis.
Katanya, kerjasama itu menggunakan modul latihan polis, sekali gus membantu menjimatkan kos kerana mengguna kemudahan sedia ada tanpa perlu membina pusat latihan polis baru.
Projek perintis dimulakan di Kem Kluang, Johor, dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dijangka melawat kem itu pada 26 Mac ini.
“Tidak pernah dalam sejarah polis dan tentera, ada fungsi pertindihan yang dikongsi bersama supaya penjimatan kos dapat dilaksanakan.
“Ini antara beberapa inisiatif kami lakukan tahun ini yang akan diumumkan kemudian, untuk mencari jalan mengurangkan kadar jenayah, terutama jenayah berat bagi memenuhi sasaran NKRA (Bidang Keberhasilan Utama Negara) kementerian," katanya.
Mengenai pindaan kepada Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Hishammuddin berkata, ia sudah sedia untuk dibentangkan kepada Kabinet sebelum dikemukakan di Parlimen.