statistik terbaru..

Thursday, March 10, 2011 - Posted by Insan Kerdil Berkata-kata at 7:27 AM

Kes jenayah berat turun 17 peratus

2011/03/10

KES jenayah berat di negara ini menurun empat hingga 17 peratus dalam tempoh 2007 hingga 2010, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Katanya, sebanyak 1,405 kes jenayah berat direkodkan pada 2006 tetapi jumlah itu merosot enam peratus kepada 1,321 kes pada 2007, 1,264 (2008), 1,096 (2009) dan 912 (2010).
“Kejayaan PDRM (Polis Diraja Malaysia) menurunkan jumlah jenayah berat itu dicapai menerusi operasi dijalankan terhadap kumpulan penjenayah yang hasilnya mereka dihadapkan ke muka pengadilan,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Ismail Kasim (BN-Arau).
Hishammuddin berkata, jenayah berat ditakrifkan sebagai jenayah yang boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan kes lain membabitkan nyawa serta harta benda seperti bunuh, samun bersenjata api, penyeludupan senjata api, culik dan kes lain.

Sementara itu, pada sidang media kemudian, beliau berkata, kerjasama strategik antara PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan meliputi penggunaan kem tentera untuk melatih dan merekrut anggota polis, mengadakan rondaan bersama serta menyerap bekas anggota tentera ke dalam perkhidmatan polis.

Katanya, kerjasama itu menggunakan modul latihan polis, sekali gus membantu menjimatkan kos kerana mengguna kemudahan sedia ada tanpa perlu membina pusat latihan polis baru.

Projek perintis dimulakan di Kem Kluang, Johor, dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dijangka melawat kem itu pada 26 Mac ini.
“Tidak pernah dalam sejarah polis dan tentera, ada fungsi pertindihan yang dikongsi bersama supaya penjimatan kos dapat dilaksanakan.

“Ini antara beberapa inisiatif kami lakukan tahun ini yang akan diumumkan kemudian, untuk mencari jalan mengurangkan kadar jenayah, terutama jenayah berat bagi memenuhi sasaran NKRA (Bidang Keberhasilan Utama Negara) kementerian," katanya.

Mengenai pindaan kepada Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Hishammuddin berkata, ia sudah sedia untuk dibentangkan kepada Kabinet sebelum dikemukakan di Parlimen.

Model Ekonomi Baru

Posted by Islah Debators at 3:04 AM
MODEL EKONOMI BARU PULA?

Laporan akhbar 12HB Jun 2009 pada hari ini melaporkan bagaimana Dato’ Seri Najib selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan hendak mencadangkan Model Ekonomi Baru.Kenyataan yang dikeluarkan sebagai keresahan pemimpin Malaysia yang yang menghadapi suasana gawat ekonomi pada hari ini. kerana keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku tahun pertama Malaysia bagi tahun ini menguncup 6.2 peratus berbanding dengan pertumbuhan 0.1 peratus pada suku tahun keempat tahun lepas berikutan kemerosotan ketara permintaan luaran ekoran kemelesetan serius ekonomi.
Apa model sekalipun tidak berjaya jika perkara asas dalam sistem ekonomi tidak diperbetulkan dahulu, antaranya ialah
• Persoalan rasuah dan ketirisan , sampai hari ini tidak diatasi dengan baik. Slogan untuk menghapuskan rasuah hanya retorik yang tidak kesampaian.
• Selagi dasar mementingkan kroni dan bukan merit kerja tidak dibuang maka selagi itulah ekonomi tidak boleh meningkat. Kerana yang diutamakan ialah Umno Putera dan BN Putera bukan berdasarkan kepada merit. Akhirnya berlakulah seperti bumbung stadium runtuh. Bumbung stadium bukan buat dengan atap nipah kenapa boleh runtuh?. Jawapannya tepuk meja buka laci.
• Pencabulan undang-undang dan mencabul demokrasi seperti yang berlaku di Perak telah menyebabkan pelabur asing terutamanya hilang keyakinan. Kalau kerajaan yang dipilih secara sah boleh dicabul sewenang-wenang, apakah jaminan pelaburan mereka tidak dicabul. Lebih baik mereka pergi ke tempat lain untuk melabur. Sekarang siapa yang rugi.
• Kerajaan Umno/BN kena merasa malu kenapa negara yang ada hasil mahsul yang banyak seperti minyak, kelapa sawit, silicon, mutiara, balak, getah, kelapa dan banyak lagi yang Allah anugerahkan kepada negara kita yang tercinta tetapi, kenapa negara mengalami kemelesetan ekonomi yang teruk. Kalau logik akalnya Malaysia tidak akan mengalami kemelesetan demikian rupa. Kenapa ini berlaku?.
Saya nasihatkan Dato’ Seri Najib boleh pergi buka kitab ekonomi dan cara urus tadbir negara dengan Tok Guru Nik Aziz yang memerintah Kelantan hampir 20 tahun. Walaupun pemimpin Umno menganggap kerajaan Pas di Kelantan boleh bertahan selama 6 bulan sahaja selepas mengambil kuasa pada tahun 1990, kerana tidak ada hasil. Mereka bercakap demikian kerana mereka tidak yakin dengan janji Allah bahawa rezki Allah yang beri. Memanglah hasil negeri hanya cukai tanah, air dan hutan tetapi mampu untuk urus negeri dengan baik, kerana berbekalkan iman dan keyakinan kepada Allah. Sedangkan segala khazanah Kelantan yang dibayar oleh rakyat Kelantan seperti bayaran passport antarabngsa, cukai kastam, stem pos, saman trafik semuanya ke Putera Jaya. Namun Kelantan boleh tadbir dengan baik.
Dato’ Seri najib dan pemimpin Umno/Bn pergilah memondok di Kelantan untuk belajar ekonomi yang sesuai dengan fitrah manusia dan pencipta alam ini. Kalau tidak kembali kepada dasar ekonomi yang berteraskan kepada keadilan dengan menghapuskan sistem riba, maka buatlah apa dasar sekalipun akan gagal.
angan tunduk -- Tuntutan tender terbuka MCA bercanggah dengan DEB
Tuesday, 21 August 2007 07:44am
©Utusan Malaysia (Digunakan dengan kebenaran)
Oleh Azman Ibrahim

KUALA LUMPUR 20 Ogos – Ahli- ahli politik Melayu hari ini menggesa kerajaan tidak tunduk kepada tuntutan MCA supaya tender projek-projek kerajaan dibuat secara terbuka kerana permintaan itu bertentangan dengan semangat Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Menurut mereka, dasar tender yang dilaksanakan kerajaan selama ini telah memberi banyak faedah yang turut dikongsi dan dirasai oleh semua kaum termasuk ahli-ahli perniagaan Cina.

Ahli-ahli politik Melayu yang membuat gesaan itu menegaskan, dasar tender kerajaan tersebut diasaskan daripada semangat kontrak sosial dan DEB.
Ahli Parlimen Johor Bahru, Datuk Shahrir Samad berkata, walaupun syarikat-syarikat bumiputera diberi kelebihan mendapatkan tender-tender kerajaan, namun syarikat-syarikat bukan bumiputera tidak terkecuali memperoleh faedah daripada sistem tender itu.

Beliau berkata, kontraktor bumiputera tetap memerlukan kerjasama syarikat-syarikat bukan bumiputera, khususnya syarikat-syarikat milik ahli perniagaan Cina, bagi mendapatkan bahan-bahan binaan dan peralatan-peralatan teknikal.

“Inilah yang dikatakan perkongsian dan ia harus diterima oleh semua rakyat sebagai sesuatu yang positif.

“Apa yang kita amalkan selama ini mewujudkan rangkaian nilai yang dapat membantu meningkatkan ekonomi negara dan dirasai oleh semua peringkat masyarakat,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini.

Shahrir mengulas kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting semalam yang meminta kerajaan melaksanakan tender terbuka tanpa mengira kaum dengan mendakwa jika dilaksanakan langkah itu amalan ‘ali baba’ dapat dihapuskan dan akan mewujudkan persaingan yang lebih sihat dalam ekonomi negara.

Pengerusi Kelab Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC), Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar pula menegaskan, kerajaan sudah berlaku adil kepada syarikat bukan bumiputera, malah banyak syarikat bukan bumiputera jauh lebih maju dan mendapat peluang yang lebih banyak di negara ini.

Beliau berpendapat syarikat bukan bumiputera tidak boleh mempersoalkan hak dan kelebihan yang diperoleh oleh mana-mana syarikat bumiputera selama ini.

Dasar tender kerajaan itu, tegas Raja Ahmad Zainuddin, bertitik tolak daripada aspirasi DEB untuk mewujudkan keseimbangan ekonomi di kalangan masyarakat.

‘‘Apa salahnya syarikat bumiputera dapat tender daripada kerajaan? Syarikat bumiputera tidak bergerak sendirian. Mereka akan berkongsi perniagaan dengan syarikat-syarikat bukan bumiputera lain... ini sudah memadai dan adil,’’ ujarnya.

Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia, Datuk Roslan Awang Chik pula mendedahkan, syarikat bukan bumiputera sebenarnya memperoleh faedah yang lebih tinggi melalui tender yang diperoleh oleh syarikat bumiputera.

Beliau memberikan contoh bagaimana industri bahan binaan yang lazimnya dimonopoli oleh syarikat bukan bumiputera untung besar apabila kontraktor bumiputera memperoleh kontrak pembinaan daripada kerajaan.

“Kira-kira 60 peratus bisnes bahan binaan dikuasai oleh syarikat bukan bumiputera. Syarikat bumiputera membeli bahan binaan daripada mereka.

‘‘Ini membuktikan syarikat bukan bumiputera tetap menikmati faedah walaupun tender kerajaan diperoleh oleh syarikat bumiputera,’’ kata Roslan.

Pengerusi Biro Pengaduan Awam Pemuda UMNO, Datuk Subahan Kamal pula memberitahu, syarikat-syarikat bukan bumiputera juga banyak memperoleh tender kerajaan terutama dalam bidang elektronik, rangkaian telekomunikasi dan pembinaan jalan raya.

Justeru, katanya, adalah tidak adil jika pucuk pimpinan MCA meminta kesemua tender kerajaan dibuat secara terbuka sedangkan hak yang dinikmati oleh syarikat-syarikat bumiputera itu terlalu kecil.

‘‘Setakat ini sudah banyak syarikat konsesi swasta milik bukan bumiputera diberi peluang untuk menjalankan projek kerajaan dengan nilai projek yang besar.

‘‘Kerajaan sudah berlaku adil... saya menyifatkan permintaan Presiden MCA itu sebagai tidak kena pada masanya apatah lagi ketika negara bakal menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-50 pada 31 Ogos ini,’’ ujarnya.

Ketua Pemuda UMNO Johor, Razali Ibrahim pula menyifatkan permintaan Ka Ting tidak kena pada tempatnya sedangkan beliau seharusnya mengambil kira banyak perkara terutama isu kepentingan masyarakat bumiputera di negara ini.

“Walaupun niat Presiden MCA itu baik iaitu menuntut hak persamaan, namun ada banyak perkara yang perlu dipertimbangkan seperti pencapaian ekonomi masyarakat bumiputera yang jauh lebih rendah daripada kaum bukan bumiputera.

‘‘Belum tiba masanya kita membuka tender projek-projek kerajaan secara terbuka,” katanya.

Menurut Razali, hak persamaan tidak boleh dilihat dari sudut ekonomi semata-mata.

‘‘Tuntutan hak persamaan perlu dilihat dalam konteks persefahaman dalam pembangunan masyarakat,’’ kata beliau.

Sementara itu, Ketua Dewan Pemuda Pas, Salahuddin Ayub berkata, tuntutan daripada kaum bukan bumiputera mengenai sistem tender kerajaan tidak sepatutnya timbul.

Sebagai rakyat Malaysia, katanya, pemimpin-pemimpin MCA harus memahami semangat kontrak sosial yang menjadi asas perlembagaan negara.

‘‘Sebarang tuntutan oleh kaum bukan bumiputera seharusnya dikaitkan dengan semangat kontrak sosial, maknanya mereka perlu faham bagaimana bermulanya kewujudan negara ini.

‘‘Mereka juga perlu memahami semangat DEB,’’ kata Salahuddin.

Perletakan Jawatan Misbun.

Wednesday, March 9, 2011 - Posted by Islah Debators at 11:26 PM
Perbezaan pendapat punca Misbun letak jawatan: Ahmad Shabery


2011/01/10
KUALA LUMPUR: Keputusan Datuk Misbun Sidek meletak jawatan sebagai jurulatih pemain perseorangan badminton negara adalah bersifat teknikal mengenai aspek kejurulatihan dan bukannya bersifat peribadi, kata Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

"Berdasarkan luahan hati Misbun, keputusannya meletak jawatan daripada BAM (Persatuan Badminton Malaysia), sehari sebelum tahun baru ialah berdasarkan perdekatan berbeza dalam aspek kejurulatihan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Sukan Malaysia, di sini hari ini.
Ahmad Shabery berkata, rumusan terbabit berdasarkan pertemuannya dengan Misbun, Presiden BAM, Datuk Seri Mohd Nadzmi Salleh dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong, malam tadi.
"Datuk Nadzmi memberi pandangannya mengenai isu yang sama dan (beliau juga) akan membawa luahan hati Misbun kepada mesyuarat exco BAM pada Rabu ini.

"Terpulang kepada exco badan induk badminton negara untuk memutuskannya dan kita mahukan mesyuarat exco BAM membuat keputusan menang-menang supaya tidak memberi kesan kepada sukan terbabit memandangkan jasa Misbuk kepada kejayaan pemain badminton negara tidak boleh dinafikan," katanya.

Ahmad Shabery berkata, pada pertemuan terbabit Misbun turut menafikan khabar angin bahawa dirinya dan anak didiknya, pemain badminton perseorangan lelaki nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei mempunyai agenda peribadi.

"Ada khabar angin mengatakan kedua-dua mereka mahu menubuhkan sebuah badan atau kem profesional selepas keluar dari BAM. Misbun menafikan wujudnya perancangan tersebut," katanya.
Chong Wei sebelum ini menyatakan hasratnya untuk keluar dari BAM dan menyertai `sifunya' selepas Misbun, yang melatihnya selama enam tahun, meletak jawatan. - BERNAMA.














Kurang berpuas hati keputusan BAM turut dikatakan punca peletakan jawatan. B. harian/3.1.2011

APAKAH isyarat tersirat yang mahu diberi jurulatih, Misbun Sidek kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) apabila melakukan kejutan dengan meletak jawatan pada hari terakhir 2010?
Adakah ia disebabkan beberapa keputusan penting BAM termasuk melantik bekas pemain dan jurulatih, Datuk James Selvaraj selaku Pengarah Prestasi Tinggi menjadi antara faktor jurulatih pemain nombor satu dunia, Lee Chong Wei itu berbuat demikian?
Bukan menjadi rahsia Misbun kurang berpuas hati dengan keputusan BAM serta James merombak sistem kejurulatihan dan latihan sebelumnya apabila memperkenalkan sistem baru dengan terpaksa menjaga satu kelompok pemain dengan kuantiti besar.

Misbun menyifatkan di Kejohanan Dunia di Paris Ogos lalu bahawa rombakan itu menjurus kepada struktur latihan corak lama sedangkan sistem pengkhususan yang diamalkan sudah membuahkan hasil dengan pencapaian membanggakan Chong Wei.

Mengikut struktur baru, Misbun ditugaskan membimbing skuad elit bersama adiknya, Rashid dan dua pemain jagaan sebelum ini, anaknya, Misbun Ramdan dan Wong Mew Choo dikeluarkan daripada senarai jagaannya.

Ramdan diletakkan di bawah Hendrawan yang ditugaskan membentuk skuad pelapis, sementara Mew Choo kembali menjalani latihan di bawah jurulatih perseorangan wanita, Wong Tat Meng.
Misbun yang yang kurang senang dikatakan membuat permintaan kepada BAM supaya Ramdan disenaraikan semula di bawah jagaannya tetapi hingga hari ini badan induk itu tidak menunaikan permintaannya.

Antara faktor utama BAM enggan menunaikan permintaan itu kerana tidak mahu dilihat pilih kasih kerana Ramdan belum memenuhi beberapa kriteria untuk disenaraikan dalam skuad elit.

Turut dikaitkan Misbun berbuat demikian kerana Chong Wei dan pemain lain dikatakan mahu keluar daripada BAM selepas mereka kurang berpuashati dengan tindakan BAM mengkaji dan memperkenalkan skim insentif baru.

Namun, ada juga yang menyifatkan Misbun berani bermain tarik tali dan menuntut BAM mendengar kata kerana dia dan Chong Wei sudah membuktikan keupayaan dengan memenangi banyak kejuaraan di persada antarabangsa, apatah lagi, Chong Wei harapan utama memenangi emas di Sukan Olimpik London 2012.

Apapun, alasan di sebalik keputusan itu, hanya Misbun yang mengetahuinya dan sebarang keputusan yang diambil harus mengutamakan kepentingan negara dan BAM perlu bertindak segera menyelesaikan kemelut tahun baru ini.

Shabery terkejut peletakan jawatan

MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang terkejut dengan laporan peletakan jawatan Datuk Misbun Sidek selaku jurulatih perseorangan badminton negara akan mendapatkan penjelasan lanjut daripada pihak terbabit berhubung perkara itu.

Beliau berkata ada menghubungi Persatuan Badminton Malaysia (BAM) meminta penjelasan perkara itu dan badan induk berkenaan berkata tiada alasan diberi Misbun dalam surat peletakan jawatan dihantar melalui emel itu.

“Jadi, apabila tiada alasan kemungkinan Misbun mempunyai alasan tersendiri.
Saya akan dapatkan maklumat daripada BAM, kebetulan pula Presidennya (Datuk Seri Nadzmi Mohd Salleh) berada di luar negara. Saya akan tunggu laporan dalam masa terdekat,” katanya kepada pemberita selepas menutup Program Juara Rakyat Anjuran UMNO Bahagian Parit Buntar di Dewan JKKK Tanjong Piandang, semalam.

Ahmad Shabery diminta mengulas laporan sebuah akhbar semalam yang memetik Pengurus Besar BAM, Kenny Goh sebagai mengesahkan Misbun meletakkan jawatan menerusi satu surat bertarikh 31 Disember yang dihantar melalui emel ke pejabat BAM.

Mengenai kebimbangan beberapa pemain, termasuk Lee Chong Wei akan menarik diri daripada BAM berikutan tindakan Misbun, beliau berkata masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan itu.

BAM tak maklum ISN. Metro/ 18.2.2011
NSTITUT SUKAN NEGARA (ISN) mengakui tindakan mengejut jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei mengambil bahagian dalam Superliga Badminton di Indonesia minggu depan boleh merencatkan program dirancang badan itu untuk Road To London.
Ketua Pengarah, Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz berkata, keputusan mengikuti kejohanan sesuka hati tanpa memaklumkan kepada pihaknya yang memantau rapat perkembangan atlet baik dari segi kesihatan mahupun fizikal adalah tindakan tidak wajar.

“Saya harap apa yang ISN lakukan dihargai. Kami tidak lakukan untuk mendapat nama tapi demi kepentingan negara yang mensasarkan untuk membawa pulang pingat emas Sukan Olimpik 2012,” kata Ramlan yang ditemui di pejabatnya semalam.
Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sebelum ini bersetuju membenarkan atlet elit menyertai 14 kejohanan utama dan tiga saingan liga di China, tidak termasuk liga Indonesia yang tiba-tiba muncul.

Ramlan tidak menyalahkan atlet semata-mata sebaliknya menuntut persatuan lebih telus dan bertanggungjawab dengan memaklumkan kepada pihaknya mengenai perkembangan atlet, baik dari segi kesihatan mahupun pergerakan atlet yang menyertai mana-mana kejohanan.

“Tiada siapa maklumkan kepada saya Chong Wei akan ke Indonesia kecuali mengetahuinya menerusi akhbar. Tadi Kenny Goh (Pengurus Besar BAM) juga bermesyuarat dengan saya tapi tidak beritahu apa-apa dan saya masih berharap mendengar kenyataan beliau,” kata Ramlan yang mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa kecil Khidmat Sains Sukan dan Perubatan Sukan program Road To London di Bukit Jalil.
“Kita tubuhkan Unit Perancangan Periodisasi dan Pemantauan Atlet (UPPA) bertujuan memantau perkembangan atlet supaya kekal dalam keadaan berdaya saing untuk merangkul pingat emas Sukan Olimpik.

“Atlet menyertai kejohanan di luar dengan pelbagai risiko tanpa pengetahuan kami sekalipun tetap dibantu tapi hanya apabila mereka pulang. Namun, bagaimana situasi mereka jika cedera? Kami akan cuba pulihkan tapi apakah ini perancangan kita untuk Road To London?” kata Ramlan lagi.
“Saya tidak kisah sangat jika atlet tiba-tiba dihantar ke mana-mana kejohanan tapi beritahu kami kerana kami bertanggungjawab ke atas atlet. Cubalah kita utamakan kepentingan negara.

“Kami di ISN sudah buktikan bila atlet menyertai banyak kejohanan, ia boleh jejaskan kecergasan dan mengganggu proses pemulihan (kepenatan dan kecederaan).” Kelmarin, BAM mengesahkan Chong Wei beraksi di Superliga Badminton di Surabaya, menyertai kelab SGS PLN Bandung yang turut dianggotai Taufik Hidayat.

Sebanyak tujuh kelab bertanding dalam Superliga Indonesia iaitu Djarum Kudus, Jaya Raya Jakarta, Jaya Raya Suryanaga Surabaya, Musica Champion Kudus, Mutiara Bandung, Tangkas Alfamart Jakarta dan SGS PLN Bandung sendiri. Ramlan turut mengesahkan pihaknya dalam proses membuat penilaian terhadap jumlah kejohanan optimum yang sesuai untuk atlet sertai bagi menghasilkan keputusan positif dalam setiap kejohanan.

Saya perlukan Misbun'= metro/18.2.2011
PEMAIN nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei tegas tidak boleh berlatih di bawah pengawasan jurulatih lain selain Datuk Misbun Sidek ketika menyiapkan diri ke Sukan Olimpik London, tahun depan.
Pendirian pemain kelahiran Pulau Pinang itu cukup menunjukkan dia mahu terus berlatih di bawah bimbingan Misbun dalam misi buruan emas pertama Olimpik negara.

“Saya tahu ada orang cadangkan bila Misbun tiada, saya boleh berlatih bawah orang lain, tapi saya tidak rasa begitu kerana untuk mewujudkan persefahaman saya atau jurulatih perlukan masa enam bulan. Tempoh itu terlalu lama untuk saya melakukan persiapan ke Sukan Olimpik,” kata Chong Wei yang ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam selepas mempertahankan kejuaraan Siri Super Final di Taiwan.
Chong Wei menewaskan Peter Gade dari Denmark pada perlawanan akhir untuk muncul juara buat kali ketiga berturut-turut.

Biarpun membuktikan dia mampu mencipta kejayaan tanpa Misbun di sisi, pemain yang bakal mencecah usia 29 tahun Oktober tahun ini menafikan anggapan yang mengatakan dia tidak perlukan jurulatih yang mengangkatnya ke ranking pertama sejak Ogos 2008.

“Itu tidak betul, saya perlukan Misbun. Sebenarnya tumpuan saya terganggu selagi isu ini tidak diselesaikan. Saya menang semata-mata kerana keazaman untuk mempertahankan tiga kejuaraan bulan ini,” kata Chong Wei yang disambut Setiausaha Kehormat Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Ng Chin Chai dan Pengurus Besar Kenny Goh.
“Misbun juga sering menghubungi saya di Taiwan membincangkan mengenai permainan saya yang ditontonnya di televisyen, sebelum dan selepas perlawanan.” Tiga kejohanan yang ingin dipertahankan Chong Wei bulan ini adalah Siri Super Final yang sudah berjaya dilaksana dan dia kini mahu meneruskan aksi cemerlang dengan menjuarai Terbuka Malaysia dan Terbuka Korea.

Bagi memastikan hasrat mempertahan kejuaraan Terbuka Malaysia pada 18 hingga 23 Januari ini, Chong Wei akan mula menjalani latihan di Bukit Kiara hari ini.

Saya pasti peminat tidak sabar melihat aksi saya menentang Lin Dan di separuh akhir. Saya akan melakukan yang terbaik tapi harap Misbun kembali sebelum Terbuka Malaysia bermula,” kata Chong Wei berulang kali menyebut nama Misbun.

Ketika ditanya bila dia akan beralih ke profesional, dia berkata: “Saya akan lihat bagaimana keputusan Misbun, bagaimana cara BAM dan Menteri Belia dan Sukan selesaikan masalah ini. Saya akan beralih ke profesional sebaik Misbun sahkan tidak kembali ke BAM.” Juara enam Siri Super tahun lalu itu juga berharap tidak ada pihak membuat tanggapan salah terhadap Misbun dengan mengatakan jurulatih itu cuba membawanya keluar dari BAM.

“Jangan salahkan beliau. Jika saya bertindak keluar dari BAM, ini atas kehendak sendiri bukan mengikutnya.” Misbun menghantar surat peletakan jawatan kepada BAM 31 Disember lalu menerusi emel, namun isu itu berlarutan tanpa penyelesaian selama seminggu. Begitupun ia dijangka berakhir pada mesyuarat Exco BAM yang berlangsung esok.

Ahlan Wasahlan.

SELAMAT DATANG KE RANGKAIAN BLOG DEBAT SMAI B.MELAYU. DALAM BLOG INI, PARA PENDEBAT AKAN MEMUATKAN BERITA-BERITA SERTA SEGALA MAKLUMAT YANG DIPERLUKAN OLEH PENDEBAT.

HARAP MAAF.BLOG INI MASIH BELUM SIAP SEPENUHNYA. HARAP PARA PEMBACA DAPAT MEMAHAMI KEADAAN BLOG INI. HARAP MAKLUM.

SELAMAT MENJELAJAH.