Buku Jingga Pakatan Rakyat.

Thursday, October 27, 2011 - Posted by Islah Debators at 5:45 AM
KUALA LUMPUR, 20 Dis: Pakatan Rakyat (PR) mengeluarkan Buku Jingga yang mengariskan rancangan berbentuk jangka pendek dan jangka panjang dalam mentadbir negara sekiranya mengambil alih pemerintahan dalam pilihan raya akan datang.

Buku Jingga yang merupakan dasar bersama dipersetujui parti-parti dalam PR itu dikeluarkan melalui Konvensyen Ke-2 PR di Pulau Pinang pada 19 Disember dan disebut sebagai rencana dasar serta kebijakan untuk membela rakyat berlandaskan empat kerangka.

Kerangka pertama digariskan dalam buku itu ialah demokrasi yang telus dan tulen untukmemperkasakan ketuanan rakyat.

Kedua, memacu ekonomi berprestasi tinggi yang mampan untuk mem jana kemakmuran dan kebajikan kepada semua secara adil.

Ketiga, keadilan sosial bagi menjamin pembangunan insan secara menyeluruh.

Keempat, Hubungan persekutuan-negeri dan dasar luar negara yang adil-setara.

“Dasar Bersama ini menggariskan iltizam kami untuk mengalih hala tuju negara dan bangsa ke landasan yang betul setelah berdekad diruntun salah guna kuasa, rasuah dan politik perkauman,” kata buku tersebut yang ditandatangani oleh Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Preiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Selain itu tiga perkara pertama diangkat dalam dasar bersama PR meliputi komitmen mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana di negara ini serta melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain sejajar dengan Perkara 153.

Diikuti pula dengan Komitmen mempertahankan peranan dan tanggungjawab institusi raja berperlembagaan.

Dan seterusnya Komitmen memartabatkan penggunaan Bahasa Melayu selari dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan memperluaskan Bahasa Melayu sebagai lingua franca serantau, melindungi dan memperkukuhkan penggunaan bahasa ibunda semua kaum.

Program 100 hari memerintah
Buku tersebut turut mengariskan program 100 hari PR yang dilihat sebagai rancangan jangka pendek selepas berjaya mentadbir negara yang disebut sebagai permulaan kepada reformasi iaitu:


Memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Mengarahkan Khazanah Berhad, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan lain-lain badan milik kerajaan yang memiliki konsesi lebuhraya untuk menyempurnakan ambil alih aset lebuhraya oleh kerajaaan dengan tujuan menghapuskan tol.

Merombak struktur subsidi negara bagi mengurangkan subsidi kepada pihak swasta (seperti subsidi gas sebanyak RM19 bilion kepada penjana bebas) dengan memindahkannya bagi menampung perbelanjaan subsidi rakyat.

Menghargai peranan guru sebagai pendidik bangsa dengan Menaikkan memperkenalkan imbuhan perguruan sebanyak RM500 sebulan setiap seorang.

Menjadikan air sebagai hak rakyat dengan mengembalikan semua konsesi pengurusan air yang diuruskan swasta kepada kerajaan.

Menyediakan perkhidmatan internet wifi percuma kepada semua rakyat di kawasan bandar dan separa bandar.

Membatalkan Felda Plantations bagi tujuan membuka ladang-ladang yang kini diuruskannya kepada generasi kedua dan ketiga Felda.

Menaikkan royalti minyak kepada Sabah dan Sarawak kepada 20%.

Menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi memulihkan sistem kehakiman.

Menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyelesaikan kemelut pendatang tanpa izin dan kerakyatan di negeri Sabah.

Jawatankuasa Parlimen Pakatan Rakyat
Selain itu buku itu juga menyebut bidang-bidang yang akan diberi tumpuan khusus PR dalam usaha menterjemahkan dasar bersama ialah membebaskan institusi Negara, mewujudkan kemakmuran Melalui Pengagihan ekonomi yang adil dan meningkatkan pendapatan boleh guna rakyat.

Dalam usaha membebaskan institusi negara PR akan meneruskan konsep pentadbiran yang kompeten, bertanggungjawab dan telus seperti yang telah diamalkan di negeri-negeri Pakatan Rakyat; sebagai gambaran sebuah pentadbiran yang membebaskan institusi-institusi negara dari cengkaman campur tangan politik.

PR juga akan mewujudkan Council of Experts dalam isu-isu utama negara seperti ekonomi, politik dan sosial untuk merangka dan mengemaskini dasar sedia ada agar bertepatan dan mujarab menangani kemelut negara dan masyarakat.

Seterusnya memperkukuhkan Jawakatankuasa Parlimen Pakatan Rakyat yang memantau fungsi dan keberkesanan Kementerian-kementerian, dengan penerbitan laporan Jawatankuasa Parlimen Pakatan Rakyat setiap enam bulan sekali.

Dan akhirnya memperhebatkan proses pendidikan politik melibatkan golongan sasaran yang lebih besar mengenai peri penting keutuhan institusi-institusi negara yang berintegriti; dengan kerjasama NGO dan masyarakat sivil/madani disamping istiqamah dalam kempen dan gerak kerja politik untuk memberi tekanan kepada pentadbiran sedia ada agar membebaskan institusi-institusi negara dari campur tangan politik.

Pendapatan isi rumah RM4000 sebulan
Dalam aspek pengagihan ekonomi yang adil, PR akan menukar aliran pemikiran rakyat supaya beralih dari tumpuan kepada persoalan ekuiti yang sering ditimbulkan lawan kepada langkah-langkah khusus meningkatkan pendapatan isi rumah rakyat.


Dalam masa yang sama PR akan membongkarkan penyelewengan harta rakyat atas nama menjaga hak Melayu/Bumiputra termasuklah skandal kehilangan RM52 bilion saham yang diperuntukan kepada golongan elit dan kroni pemerintah atas nama Melayu/Bumiputra serta meneruskan skim bantuan terus kepada rakyat tanpa diskriminasi.

PR juga akan mempertahankan hak rakyat untuk mendapat bantuan kerajaan dalam bentuk subsidi minyak dan barangan keperluan asas selain membela golongan termiskin berpendapatan isi rumah di bawah RM1,500 tanpa mengira kaum dengan mensasarkan matlamat menjamin pendapatan isi rumah minima RM4,000 setiap keluarga dalam tempoh 5 tahun Pakatan Rakyat berkuasa.

Dalam aspek pengagihan ekonomi yang adil itu, PR juga menjamin kelangsungan bekalan makanan negara pada harga yang tidak membebankan negara dengan langkah-langkah drastik dalam tempoh dua tahun memerintah di peringkat persekutuan untuk mengurangkan pergantungan kepada import makanan.

Air dan rawatan percuma
Bagi meningkatkan pendapatan boleh guna rakyat, Buku Jingga itu menyebut PR akan menyempurnakan pengambilalihan pengurusan industri air di Lembah Klang demi menjamin tarif air yang berpatutan untuk rakyat dan meneruskan Skim Air Percuma yang telah dinikmati rakyat serta menjamin tidak ada penswastaan sektor kesihatan bagi memastikan khidmat kesihatan yang bermutu dan percuma dapat terus disediakan kepada rakyat terbanyak.

Perkara lain yang turut digariskan di bawah program untuk meningkatkan pendapatan boleh gunarakyat ialah:

Mewujudkan Perbadanan Perumahan Negara sebagai badan induk yang mengawal, membangunkan dan mengurustadbir skim pembangunan rumah rakyat untuk menjamin setiap keluarga di Malaysia mampu memiliki kediaman yang selesa pada harga yang berpatutan dengan pendapatan mereka.

Menyelesaikan kes-kes projek perumahan terbengkalai yang menekan rakyat dengan apa jua kaedah yang difikirkan sesuai oleh kerajaan-kerajaan negeri Pakatan Rakyat pada kadar yang segera.

Meneruskan dan meningkatkan skim mikrokredit yang diperkenalkan untuk memberi bantuan khusus kepada golongan termiskin melonjakkan kedudukan ekonomi mereka, melalui bantuan kewangan, latihan dan pemantauan. Setakat ini, RM70 juta telah diperuntukkan untuk skim mikrokredit di negeri-negeri Pakatan Rakyat.

Source: HarakahDaily.net





Ahlan Wasahlan.

SELAMAT DATANG KE RANGKAIAN BLOG DEBAT SMAI B.MELAYU. DALAM BLOG INI, PARA PENDEBAT AKAN MEMUATKAN BERITA-BERITA SERTA SEGALA MAKLUMAT YANG DIPERLUKAN OLEH PENDEBAT.

HARAP MAAF.BLOG INI MASIH BELUM SIAP SEPENUHNYA. HARAP PARA PEMBACA DAPAT MEMAHAMI KEADAAN BLOG INI. HARAP MAKLUM.

SELAMAT MENJELAJAH.