Perletakan Jawatan Misbun.

Wednesday, March 9, 2011 - Posted by Islah Debators at 11:26 PM
Perbezaan pendapat punca Misbun letak jawatan: Ahmad Shabery


2011/01/10
KUALA LUMPUR: Keputusan Datuk Misbun Sidek meletak jawatan sebagai jurulatih pemain perseorangan badminton negara adalah bersifat teknikal mengenai aspek kejurulatihan dan bukannya bersifat peribadi, kata Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

"Berdasarkan luahan hati Misbun, keputusannya meletak jawatan daripada BAM (Persatuan Badminton Malaysia), sehari sebelum tahun baru ialah berdasarkan perdekatan berbeza dalam aspek kejurulatihan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Sukan Malaysia, di sini hari ini.
Ahmad Shabery berkata, rumusan terbabit berdasarkan pertemuannya dengan Misbun, Presiden BAM, Datuk Seri Mohd Nadzmi Salleh dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong, malam tadi.
"Datuk Nadzmi memberi pandangannya mengenai isu yang sama dan (beliau juga) akan membawa luahan hati Misbun kepada mesyuarat exco BAM pada Rabu ini.

"Terpulang kepada exco badan induk badminton negara untuk memutuskannya dan kita mahukan mesyuarat exco BAM membuat keputusan menang-menang supaya tidak memberi kesan kepada sukan terbabit memandangkan jasa Misbuk kepada kejayaan pemain badminton negara tidak boleh dinafikan," katanya.

Ahmad Shabery berkata, pada pertemuan terbabit Misbun turut menafikan khabar angin bahawa dirinya dan anak didiknya, pemain badminton perseorangan lelaki nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei mempunyai agenda peribadi.

"Ada khabar angin mengatakan kedua-dua mereka mahu menubuhkan sebuah badan atau kem profesional selepas keluar dari BAM. Misbun menafikan wujudnya perancangan tersebut," katanya.
Chong Wei sebelum ini menyatakan hasratnya untuk keluar dari BAM dan menyertai `sifunya' selepas Misbun, yang melatihnya selama enam tahun, meletak jawatan. - BERNAMA.














Kurang berpuas hati keputusan BAM turut dikatakan punca peletakan jawatan. B. harian/3.1.2011

APAKAH isyarat tersirat yang mahu diberi jurulatih, Misbun Sidek kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) apabila melakukan kejutan dengan meletak jawatan pada hari terakhir 2010?
Adakah ia disebabkan beberapa keputusan penting BAM termasuk melantik bekas pemain dan jurulatih, Datuk James Selvaraj selaku Pengarah Prestasi Tinggi menjadi antara faktor jurulatih pemain nombor satu dunia, Lee Chong Wei itu berbuat demikian?
Bukan menjadi rahsia Misbun kurang berpuas hati dengan keputusan BAM serta James merombak sistem kejurulatihan dan latihan sebelumnya apabila memperkenalkan sistem baru dengan terpaksa menjaga satu kelompok pemain dengan kuantiti besar.

Misbun menyifatkan di Kejohanan Dunia di Paris Ogos lalu bahawa rombakan itu menjurus kepada struktur latihan corak lama sedangkan sistem pengkhususan yang diamalkan sudah membuahkan hasil dengan pencapaian membanggakan Chong Wei.

Mengikut struktur baru, Misbun ditugaskan membimbing skuad elit bersama adiknya, Rashid dan dua pemain jagaan sebelum ini, anaknya, Misbun Ramdan dan Wong Mew Choo dikeluarkan daripada senarai jagaannya.

Ramdan diletakkan di bawah Hendrawan yang ditugaskan membentuk skuad pelapis, sementara Mew Choo kembali menjalani latihan di bawah jurulatih perseorangan wanita, Wong Tat Meng.
Misbun yang yang kurang senang dikatakan membuat permintaan kepada BAM supaya Ramdan disenaraikan semula di bawah jagaannya tetapi hingga hari ini badan induk itu tidak menunaikan permintaannya.

Antara faktor utama BAM enggan menunaikan permintaan itu kerana tidak mahu dilihat pilih kasih kerana Ramdan belum memenuhi beberapa kriteria untuk disenaraikan dalam skuad elit.

Turut dikaitkan Misbun berbuat demikian kerana Chong Wei dan pemain lain dikatakan mahu keluar daripada BAM selepas mereka kurang berpuashati dengan tindakan BAM mengkaji dan memperkenalkan skim insentif baru.

Namun, ada juga yang menyifatkan Misbun berani bermain tarik tali dan menuntut BAM mendengar kata kerana dia dan Chong Wei sudah membuktikan keupayaan dengan memenangi banyak kejuaraan di persada antarabangsa, apatah lagi, Chong Wei harapan utama memenangi emas di Sukan Olimpik London 2012.

Apapun, alasan di sebalik keputusan itu, hanya Misbun yang mengetahuinya dan sebarang keputusan yang diambil harus mengutamakan kepentingan negara dan BAM perlu bertindak segera menyelesaikan kemelut tahun baru ini.

Shabery terkejut peletakan jawatan

MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang terkejut dengan laporan peletakan jawatan Datuk Misbun Sidek selaku jurulatih perseorangan badminton negara akan mendapatkan penjelasan lanjut daripada pihak terbabit berhubung perkara itu.

Beliau berkata ada menghubungi Persatuan Badminton Malaysia (BAM) meminta penjelasan perkara itu dan badan induk berkenaan berkata tiada alasan diberi Misbun dalam surat peletakan jawatan dihantar melalui emel itu.

“Jadi, apabila tiada alasan kemungkinan Misbun mempunyai alasan tersendiri.
Saya akan dapatkan maklumat daripada BAM, kebetulan pula Presidennya (Datuk Seri Nadzmi Mohd Salleh) berada di luar negara. Saya akan tunggu laporan dalam masa terdekat,” katanya kepada pemberita selepas menutup Program Juara Rakyat Anjuran UMNO Bahagian Parit Buntar di Dewan JKKK Tanjong Piandang, semalam.

Ahmad Shabery diminta mengulas laporan sebuah akhbar semalam yang memetik Pengurus Besar BAM, Kenny Goh sebagai mengesahkan Misbun meletakkan jawatan menerusi satu surat bertarikh 31 Disember yang dihantar melalui emel ke pejabat BAM.

Mengenai kebimbangan beberapa pemain, termasuk Lee Chong Wei akan menarik diri daripada BAM berikutan tindakan Misbun, beliau berkata masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan itu.

BAM tak maklum ISN. Metro/ 18.2.2011
NSTITUT SUKAN NEGARA (ISN) mengakui tindakan mengejut jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei mengambil bahagian dalam Superliga Badminton di Indonesia minggu depan boleh merencatkan program dirancang badan itu untuk Road To London.
Ketua Pengarah, Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz berkata, keputusan mengikuti kejohanan sesuka hati tanpa memaklumkan kepada pihaknya yang memantau rapat perkembangan atlet baik dari segi kesihatan mahupun fizikal adalah tindakan tidak wajar.

“Saya harap apa yang ISN lakukan dihargai. Kami tidak lakukan untuk mendapat nama tapi demi kepentingan negara yang mensasarkan untuk membawa pulang pingat emas Sukan Olimpik 2012,” kata Ramlan yang ditemui di pejabatnya semalam.
Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sebelum ini bersetuju membenarkan atlet elit menyertai 14 kejohanan utama dan tiga saingan liga di China, tidak termasuk liga Indonesia yang tiba-tiba muncul.

Ramlan tidak menyalahkan atlet semata-mata sebaliknya menuntut persatuan lebih telus dan bertanggungjawab dengan memaklumkan kepada pihaknya mengenai perkembangan atlet, baik dari segi kesihatan mahupun pergerakan atlet yang menyertai mana-mana kejohanan.

“Tiada siapa maklumkan kepada saya Chong Wei akan ke Indonesia kecuali mengetahuinya menerusi akhbar. Tadi Kenny Goh (Pengurus Besar BAM) juga bermesyuarat dengan saya tapi tidak beritahu apa-apa dan saya masih berharap mendengar kenyataan beliau,” kata Ramlan yang mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa kecil Khidmat Sains Sukan dan Perubatan Sukan program Road To London di Bukit Jalil.
“Kita tubuhkan Unit Perancangan Periodisasi dan Pemantauan Atlet (UPPA) bertujuan memantau perkembangan atlet supaya kekal dalam keadaan berdaya saing untuk merangkul pingat emas Sukan Olimpik.

“Atlet menyertai kejohanan di luar dengan pelbagai risiko tanpa pengetahuan kami sekalipun tetap dibantu tapi hanya apabila mereka pulang. Namun, bagaimana situasi mereka jika cedera? Kami akan cuba pulihkan tapi apakah ini perancangan kita untuk Road To London?” kata Ramlan lagi.
“Saya tidak kisah sangat jika atlet tiba-tiba dihantar ke mana-mana kejohanan tapi beritahu kami kerana kami bertanggungjawab ke atas atlet. Cubalah kita utamakan kepentingan negara.

“Kami di ISN sudah buktikan bila atlet menyertai banyak kejohanan, ia boleh jejaskan kecergasan dan mengganggu proses pemulihan (kepenatan dan kecederaan).” Kelmarin, BAM mengesahkan Chong Wei beraksi di Superliga Badminton di Surabaya, menyertai kelab SGS PLN Bandung yang turut dianggotai Taufik Hidayat.

Sebanyak tujuh kelab bertanding dalam Superliga Indonesia iaitu Djarum Kudus, Jaya Raya Jakarta, Jaya Raya Suryanaga Surabaya, Musica Champion Kudus, Mutiara Bandung, Tangkas Alfamart Jakarta dan SGS PLN Bandung sendiri. Ramlan turut mengesahkan pihaknya dalam proses membuat penilaian terhadap jumlah kejohanan optimum yang sesuai untuk atlet sertai bagi menghasilkan keputusan positif dalam setiap kejohanan.

Saya perlukan Misbun'= metro/18.2.2011
PEMAIN nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei tegas tidak boleh berlatih di bawah pengawasan jurulatih lain selain Datuk Misbun Sidek ketika menyiapkan diri ke Sukan Olimpik London, tahun depan.
Pendirian pemain kelahiran Pulau Pinang itu cukup menunjukkan dia mahu terus berlatih di bawah bimbingan Misbun dalam misi buruan emas pertama Olimpik negara.

“Saya tahu ada orang cadangkan bila Misbun tiada, saya boleh berlatih bawah orang lain, tapi saya tidak rasa begitu kerana untuk mewujudkan persefahaman saya atau jurulatih perlukan masa enam bulan. Tempoh itu terlalu lama untuk saya melakukan persiapan ke Sukan Olimpik,” kata Chong Wei yang ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam selepas mempertahankan kejuaraan Siri Super Final di Taiwan.
Chong Wei menewaskan Peter Gade dari Denmark pada perlawanan akhir untuk muncul juara buat kali ketiga berturut-turut.

Biarpun membuktikan dia mampu mencipta kejayaan tanpa Misbun di sisi, pemain yang bakal mencecah usia 29 tahun Oktober tahun ini menafikan anggapan yang mengatakan dia tidak perlukan jurulatih yang mengangkatnya ke ranking pertama sejak Ogos 2008.

“Itu tidak betul, saya perlukan Misbun. Sebenarnya tumpuan saya terganggu selagi isu ini tidak diselesaikan. Saya menang semata-mata kerana keazaman untuk mempertahankan tiga kejuaraan bulan ini,” kata Chong Wei yang disambut Setiausaha Kehormat Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Ng Chin Chai dan Pengurus Besar Kenny Goh.
“Misbun juga sering menghubungi saya di Taiwan membincangkan mengenai permainan saya yang ditontonnya di televisyen, sebelum dan selepas perlawanan.” Tiga kejohanan yang ingin dipertahankan Chong Wei bulan ini adalah Siri Super Final yang sudah berjaya dilaksana dan dia kini mahu meneruskan aksi cemerlang dengan menjuarai Terbuka Malaysia dan Terbuka Korea.

Bagi memastikan hasrat mempertahan kejuaraan Terbuka Malaysia pada 18 hingga 23 Januari ini, Chong Wei akan mula menjalani latihan di Bukit Kiara hari ini.

Saya pasti peminat tidak sabar melihat aksi saya menentang Lin Dan di separuh akhir. Saya akan melakukan yang terbaik tapi harap Misbun kembali sebelum Terbuka Malaysia bermula,” kata Chong Wei berulang kali menyebut nama Misbun.

Ketika ditanya bila dia akan beralih ke profesional, dia berkata: “Saya akan lihat bagaimana keputusan Misbun, bagaimana cara BAM dan Menteri Belia dan Sukan selesaikan masalah ini. Saya akan beralih ke profesional sebaik Misbun sahkan tidak kembali ke BAM.” Juara enam Siri Super tahun lalu itu juga berharap tidak ada pihak membuat tanggapan salah terhadap Misbun dengan mengatakan jurulatih itu cuba membawanya keluar dari BAM.

“Jangan salahkan beliau. Jika saya bertindak keluar dari BAM, ini atas kehendak sendiri bukan mengikutnya.” Misbun menghantar surat peletakan jawatan kepada BAM 31 Disember lalu menerusi emel, namun isu itu berlarutan tanpa penyelesaian selama seminggu. Begitupun ia dijangka berakhir pada mesyuarat Exco BAM yang berlangsung esok.

Ahlan Wasahlan.

SELAMAT DATANG KE RANGKAIAN BLOG DEBAT SMAI B.MELAYU. DALAM BLOG INI, PARA PENDEBAT AKAN MEMUATKAN BERITA-BERITA SERTA SEGALA MAKLUMAT YANG DIPERLUKAN OLEH PENDEBAT.

HARAP MAAF.BLOG INI MASIH BELUM SIAP SEPENUHNYA. HARAP PARA PEMBACA DAPAT MEMAHAMI KEADAAN BLOG INI. HARAP MAKLUM.

SELAMAT MENJELAJAH.