Pergolakan mesir(info & berita terkini)

Thursday, February 10, 2011 - Posted by nusaibah mohamad at 4:13 AM
Punca kpd pergolakan yg berlaku di Mesir -
ketidakpuashatian rakyat Mesir terhadap Presiden Hosni Mubarak sebagai pemerintah. Semangat rakyat Mesir utk bangkit memberontak terhadap pemerintahan Mubarak timbul sejak penggulingan Presiden Zine al-Abidin Ben Ali di Tunisia baru2 ini. Tunisia juga baru menempuhi pergolakan akibat permintaan rakyat Tunisia agar Ben Ali meletak jawatannya.(Hosni Mubarak dah memerintah selama 30 thn)

Antara sumber-sumber lain :

sepanjang 30 tahun pemerintahan Mubarak ni, mcm-mcm isu yg timbul, yg menyebabkan rakyat tertindas dan akhirnya merusuh , antaranya disebabkan oleh beberapa isu yang melibatkan isu undang-undang, hak milik awam dan juga isu politik. Contohnya isu kekejaman polis, sekatan terhadap kebebasan bersuara,semua alat komunikasi seperti internet disekat kat Mesir, semata-mata tak nak sebarang perkongsian pendapat, pendedahan isu oleh rakyat ke negara luar. Selain itu, Mubarak ni terlibat juga dengan rasuah dalam pemerintahan dan juga penipuan dalam pilihanraya.

-------------------------------------------------------------------------------------------------

26 JAN - 15,000 PENDUDUK MESIR SERTAI PROTES ALA TUNISIA

kaherah

KAHERAH: Sekurang-kurangnya 15,000 penunjuk perasaan Mesir menyertai protes digelar ‘Hari Kebangkitan’ ala Tunisia, sebahagiannya membaling batu dan memanjat trak polis selain bertempur dengan anggota keselamatan di tengah ibu negara bagi menuntut Presiden Hosni Mubarak menamatkan pemerintahan sejak 30 tahun lalu.


Anggota polis bertindak balas dengan melepaskan meriam air selain menggunakan cotar dan gas pemedih mata bagi menyuraikan penunjuk perasaan melaungkan ‘Jatuhkan Mubarak’ selain menuntut pembasmian kemiskinan, rasuah, pengangguran dan salah laku polis.


Bantahan itu awalnya bermula dengan aman, protes terbesar di Mesir sejak bertahun-tahun lalu selepas anggota polis berhati-hati sejajar dengan strategi kerajaan mengelak imej agensi keselamatan terus tercemar kerana dibayangi tuduhan bertindak seperti samseng.

Ketika penunjuk perasaan membawa bendera Mesir dan Tunisia memenuhi dataran Tahrir, anggota keselamatan mengubah taktik dan bantahan bertukar menjadi ganas. Perkembangan itu dianggap sesuai dengan sambutan ‘Hari Polis’ yang berlangsung semalam, kata pemerhati. Ada penunjuk perasaan menyerbu trak meriam air, membuka pintu pemandu dan mengarahkannya keluar.

Orang lain membaling batu dan mengheret penghadang besi manakala anggota keselamatan memukul pembantah dengan cotar kerana cuba merempuh hadangan. Ada penunjuk perasaan terhuyung hayang terhidu gas pemedih mata, ada yang batuk dan menutup mata dengan skaf.

Ada juga yang berlumuran darah. Seorang lelaki pula pengsan. Anggota polis mengheret beberapa daripada pembantah ke luar kawasan itu selain memecahkan kaca mata seorang wartawan dan merampas kameranya.

Pada ketika tertentu, pembantah mendapat kelebihan apabila memaksa sebaris anggota polis pencegah rusuhan lari selepas dihujani batu. Seorang penunjuk perasaan juga menaiki sebuah kereta bomba dan memandunya dari situ.

Kata Eid Attallah, 50, yang bekerja sebagai pemandu, dia mahu anaknya yang berusia tiga tahun membesar secara bermaruah dan mencari kerja seperti juga presiden.


Berita disunting daripada sumber : Berita Harian

----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

27 JAN - MUBARAK ‘DIASAK’ TANPA HENTI

kaherah1

KAHERAH: Sebuah kumpulan pembangkang menggesa rakyat Mesir meneruskan bantahan jalanan buat hari kedua,

selepas berpuluh ribu penduduk negara itu mengadakan perhimpunan di seluruh negara membantah pemerintahan Presiden Hosni Mubarak sejak 30 tahun lalu.


Sumber perubatan dan saksi berkata sekurang-kurangnya empat orang termasuk seorang rekrut polis terbunuh, manakala beratus-ratus lagi cedera dalam tunjuk perasaan semalam bagi menyatakan bantahan terhadap masalah kemiskinan, penindasan dan mendesak Mubarak meletak jawatan.


Seramai 200 penunjuk perasaan turut ditahan. Kumpulan belia prodemokrasi yang dinamakan sebagai Pergerakan 6 April yang membuat gesaan itu, meminta semua penduduk menuju ke medan utama di Kaherah, beberapa jam selepas polis melepaskan gas pemedih mata ke atas beribu-ribu penunjuk perasaan bagi menyuraikan mereka.

Kata kumpulan itu menerusi laman sosial Facebook, yang bersama laman Twitter, membantu menganjurkan tunjuk perasaan itu Semua orang perlu menuju ke Medan Tahrir untuk mengambil alih tempat itu sekali lagi.

Dalam satu kenyataan berasingan kumpulan itu menggesa rakyat Mesir meneruskan tunjuk perasaan.

Kata kumpulan itu bagi meneruskan apa yang kita mulakan 25 Januari lalu, kita akan berhimpun di jalan raya bagi menuntut hak untuk hidup, mempunyai kebebasan, maruah dan kami juga meminta semua orang berbuat demikian dan meneruskannya sehingga tuntutan kita dipenuhi.

Tunjuk perasaan semalam yang dikenali sebagai ‘Hari Kebangkitan’ dicetuskan daripada tunjuk perasaan yang dilakukan rakyat Tunisia bagi menggulingkan Presiden Zine El-Abidine Ben Ali.

Tunjuk perasaan itu disifatkan yang terbesar pernah diadakan sejak bantahan umum membabitkan subsidi roti mengejutkan negara paling padat penduduk di wilayah Arab itu pada 1977.

Di sebalik kawalan oleh kira-kira 20,000 hingga 30,000 polis, beribu-ribu penunjuk perasaan berarak ke Medan Tahrir semalam sambil melaungkan kata-kata ‘rakyat mahu rejim yang ada disingkirkan’ ‘Jatuhkan Mubarak’ dan ‘Berambus Mubarak’.

Sementara itu satu kenyataan yang dikeluarkan kementerian dalam negeri Mesir lewat semalam menyatakan, pasukan keselamatan memutuskan untuk memberi kebenaran kepada penunjuk perasaan untuk menyuarakan tuntutan dan kebebasan untuk bersuara’ dengan komitmen untuk tidak mengganggu perhimpunan’.

Kementerian itu berkata sekumpulan penunjuk perasaan, ‘terutama kumpulan besar yang bergabung dengan Ikhwanul Muslimin, memulakan tunjuk perasaan, memusnahkan harta benda awam dan melempar batu ke arah polis.


Berita disunting daripada sumber : Berita Harian

-------------------------------------------------------------------------------------------------

10 FEB - MUBARAK TERUS TERIMA TEKANAN

dataran-tahrir

KAHERAH: Penunjuk perasaan antikerajaan meningkatkan tekanan terhadap Presiden Hosni Mubarak dengan terus berhimpun di Dataran Tahrir pada hari ke-16 semalam dan menyekat jalan masuk ke bangunan Parlimen.

Laporan juga diterima dari beberapa tempat bahawa mogok dan tindakan industri dilaksanakan. Amaran Naib Presiden, Omar Suleiman, kelmarin agar tunjuk perasaan dihentikan segera bagi mengelak rampasan kuasa, tidak dihindarkan rakyat yang mahu Mubarak berundur segera.

Malah, penunjuk perasaan bertindak lebih berani dengan menyekat jalan ke bangunan Parlimen yang terletak beberapa blok dari Dataran Tahrir yang menyaksikan perhimpunan antikerajaan terbesarnya semalam sejak bantahan rakyat bermula lebih dua minggu lalu.

Bagaimanapun, keadaan di bangunan Parlimen itu masih terkawal berikutan tentera melindunginya sejak bantahan bermula.

Di Terusan Suez – laluan perdagangan penting di antara lautan Mediterranean dan Laut Merah, kira-kira 6,000 pekerja mengadakan mogok.

Wartawan Perbadanan Penyiaran Britain (BBC), melaporkan tindakan industri juga diadakan di seluruh negara. Malam kelmarin, Suleiman berkata, krisis itu harus ditamatkan segera.

Katanya dalam kenyataan ketika beratus ribu penunjuk perasaan berhimpun di Dataran Tahrir kita tidak mahu menggunakan peralatan polis untuk berdepan dengan rakyat Mesir.

Beliau berkata, jika dialog dengan pembangkang dan penunjuk perasaan gagal menghentikan bantahan, rampasan kuasa akan berlaku dan ia akan mencetuskan perkara yang tidak diingini.

Kumpulan pembangkang mengecam kenyataan itu. Ikhwanul Muslimin, kumpulan pembangkang terbesar Mesir yang diharamkan, berkata pihaknya masih terbuka untuk menghadiri dialog tetapi tidak akan beranjak dengan tuntutan agar Mubarak berundur segera.

Kata jurucakapnya, Mohammed Mursi, Presiden harus berundur dan era baru harus bermula sekarang.

Kumpulan itu bersama beberapa kumpulan pembangkang dan penunjuk perasaan menyertai dialog yang dimulakan Suleiman sejak beberapa hari lalu.

Abdul-Rahman Samir, jurucakap pakatan golongan muda antara penganjur tunjuk perasaan menuduh Suleiman sengaja mewujudkan senario bahaya.

Beliau mengancam untuk mengenakan undang-undang tentera yang bermakna semua orang di dataran Tahrir akan ditembak. Namun, apa yang dia akan buat jika baki 70 juta rakyat Mesir berjuang bersama-sama.


Berita disunting daripada sumber : Berita Harian

---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------


MESIR, AS BERTIKAM LIDAH KETIKA KETEGANGAN MEMUNCAK




obama2WASHINGTON: Menteri Luar Mesir, Ahmed Abul Gheit, menuduh Amerika Syarikat cuba memaksakan kehendaknya ke atas sekutunya ketika Rumah Putih memberi amaran bahawa Kaherah gagal mencapai "tahap minimum" pembaharuan.
Abul Gheit berkata demikian dalam temubual bersama stesen televisyen PBS selepas Washington mengkritik Naib Presiden Mesir, Omar Suleiman, yang bertanggungjawab mengadakan dialog dengan kumpulan pembangkang. Beliau membidas apa yang disifatkannya sebagai retorik AS terhadap krisis yang dicetus penunjuk perasaan di Mesir itu.

“Apabila anda berbicara mengenai 'segera', 'serta merta', 'sekarang', seolah-olah anda memaksakan kehendak anda terhadap negara hebat seperti Mesir, negara sahabat yang sentiasa mengekalkan hubungan baik dengan AS. Mesir dan Presiden Mesir, kerajaan Mesir sudah memulakannya," katanya merujuk pelan untuk rundingan peralihan kuasa kerajaan Hosni Mubarak.

Bagaimanapun, Washington menegaskan penunjuk perasaan yang berhimpun di Medan Tahrir akan menentukan masa depan Mesir, bukannya AS. “Kami tidak cuba menentukan apa-apa," kata jurucakap Jabatan Negara, Philip Crowley. - AFP

--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

07 FEB - MESIR BERANSUR PULIH

kaherah

KAHERAH: Walaupun Yaumal Raahil (hari pemergian) berakhir Jumaat lalu dan Hosni Mubarak masih berada di atas takhta, penunjuk perasaan di dataran Tahrir di sini tidak hampa, malah lebih yakin perjuangan mereka akan berjaya.

Minggu yang baru berlepas menyaksikan mereka berjaya menepis serangan balas penyokong presiden Mubarak, selain melihat keseluruhan anggota majlis tertinggi parti pemerintah dipimpin Mubarak, meletak jawatan termasuk anaknya Gamal yang sebelum ini bercita-cita menggantikan bapanya.

Washington yang menjadi sekutu rapat Mubarak kini pula dilihat lebih cenderung mahu naib presiden Omar Suleiman mengetuai proses peralihan kerajaan di negara itu.

Kumpulan pembangkang terbesar Mesir pula, Ikhwanul Muslimin selepas diharamkan sekian lama semalam terbabit dalam dialog politik dengan Omar, bersama-sama kumpulan pembangkang dan penunjuk perasaan yang lain bagi mengakhiri bantahan yang sudah berlarutan dua minggu itu.

Mubarak yang memerintah Mesir sejak hampir 30 tahun lalu selama ini tidak pernah bertolak ansur dengan Ikhwan, malah secara keras menentang kumpulan yang mempunyai banyak pengaruh itu.

Berikutan itu keputusan mempelawa Ikhwan terbabit sama dalam rundingan dilihat rejim Mubarak semakin terdesak.

Sementara itu, suasana di ibu negara dengan 18 juta penduduk ini yang ditutup sejak tunjuk perasaan bermula 25 Januari lalu, semakin pulih.

Semalam, menyaksikan bank membuka pintunya untuk tiga jam, pertama kali dalam seminggu. Beberapa restoran termasuk francais asing seperti Kentucky Fried Chicken turut membuka semula perniagaan masing-masing.

Keadaan lalu-lintas juga kembali seperti biasa dan kedai termasuk di jalan yang menuju ke Dataran Tahrir juga dibuka semula.

Kumpulan penunjuk perasaan yang masih berhimpun di dataran yang sudah menjadi medan utama bantahan menghadiahkan bunga kepada pekedai sebagai ‘pampasan’ terhadap kerugian yang dialami mereka.

Kira-kira 5,000 penunjuk perasaan masih berada di dataran itu bagi meneruskan bantahan mereka.

Kata Khaled Abdul-Hameed, seorang wakil penunjuk perasaan itu Kami bertekad untuk mengadakan bantahan ini sehingga tuntutan nombor satu kami dicapai.

Berita disunting daripada sumber : Berita Harian

---------------------------------------------------------------------------

Kesan Pergolakan di Mesir

04 FEB - MATA WANG JATUH BURUKKAN KRISIS EKONOMI MESIR


bskl

EKONOMI Mesir berdepan tamparan baru selepas sebuah lagi agensi penarafan kredit menurunkan penarafannya, manakala nilai mata wangnya jatuh menghampiri paras paling rendah dalam tempoh lima tahun dengan peluang untuk meningkat semula dalam tempoh terdekat ini dilihat adalah tipis.

Anggaran kerugian yang dialami sepanjang seminggu keadaan tidak menentu di seluruh negara itu masih belum dipastikan, tetapi sesuatu yang pasti ialah harapan untuk menikmati satu lagi tahun pertumbuhan ekonomi yang kukuh bagi negara Arab yang paling ramai penduduk itu sudah musnah. Syarikat di negara itu sudah menggantung operasi, pekerja terpaksa tinggal di rumah, bank ditutup dan ribuan pelancong telah keluar dari negara berkenaan.

MEsir bakal berdepan dengan beberapa bulan yang tidak menentu dan bukannya beberapa hari, kata Said Hirsch, pakar ekonomi Asia Barat ketika merumuskan sentimen pelabur dalam iklim tidak menentu sama ada Presiden Hosni Mubarak mampu bertahan dengan desakan yang meminta beliau meletakkan jawatan.

Kelmarin, Standard & Poor (S&P) bersama Moody memotong penarafan Mesir, iaitu penurunan kali kedua dalam tempoh beberapa hari.

Agensi penarafan, Fitch Rating pula merendahkan tinjauannya untuk negara itu kepada negatif minggu lalu.

Ketiga-tiga agensi itu merujuk kepada keadaan yang semakin buruk di negara itu.

Disunting daripada Berita Harian

Ahlan Wasahlan.

SELAMAT DATANG KE RANGKAIAN BLOG DEBAT SMAI B.MELAYU. DALAM BLOG INI, PARA PENDEBAT AKAN MEMUATKAN BERITA-BERITA SERTA SEGALA MAKLUMAT YANG DIPERLUKAN OLEH PENDEBAT.

HARAP MAAF.BLOG INI MASIH BELUM SIAP SEPENUHNYA. HARAP PARA PEMBACA DAPAT MEMAHAMI KEADAAN BLOG INI. HARAP MAKLUM.

SELAMAT MENJELAJAH.