ISU KENAIKAN HARGA MINYAK.SIAPA YG PERLU BERTINDAK???

Thursday, January 13, 2011 - Posted by nusaibah mohamad at 4:58 AM

baru-baru ini negara digemparkan dgn isu kenaikan harga minyak masak..sejauh manakah kita memahami isu ini.Siapakah yg sepatutnya bertanggungjwb dlm usaha menangani gejala ini?Siapakah yg patut dipersalahkan?Kerajaan atau pengguna(rakyat)?sebelum itu,mari kita kaji dulu isu ini....................




‘Belian panik’ jadi punca kekurangan minyak masak

Posted on January 4, 2011, Tuesday

KUALA LUMPUR: Negara tidak menghadapi kekurangan bekalan minyak masak tetapi ‘belian panik’ menyebabkan satu lagi pusingan kekurangan ‘palsu’, kata seorang peserta industri.

Minyak masak berasaskan sawit segera disambar di kedai-kedai, dan yang tinggal hanyalah minyak makan diimport yang mahal, yang diperbuat daripada minyak jagung, minyak kanola dan lain-lain.

Minyak masak merupakan barangan kawalan harga di Malaysia.

Peserta industri berkata belian panik dicetuskan oleh khabar-khabar angin tentang kemungkinan harga dinaikkan, seperti yang dinyatakan dalam cadangan skim pengurangan subsidi oleh Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu), yang diterajui oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala.

Sumber yang enggan disebut namanya memberitahu Bernama di sini semalam bahawa kebanyakan usahawan kecil dan sederhana dalam perniagaan makanan membeli barangan kawalan mereka dalam jumlah yang besar kerana bimbang harga akan naik dalam tahun ini.

“Belian panik biasanya berlaku apabila tercetus khabar-khabar angin tentang kenaikan harga. Kekurangan bekalan minyak masak akan berlaku kerana orang ramai akan mula menyorok minyak makan. Inilah juga yang terjadi bila harga gula naik,” kata peniaga itu.

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Tan Lian Hoe, semalam memberikan jaminan kepada pengguna bahawa harga minyak masak tidak akan berubah buat waktu ini.

Di bawah pengurangan subsidi, harga minyak masak akan meningkat sebanyak 15 peratus sekilogram pada 2010 dan 15 peratus sekilogram pada 2011 dan selepas itu, lima peratus setiap tahun hingga Januari 2014.

Sementara itu, ada kemungkinan penyeludupan minyak masak ke Indonesia, Thailand dan Singapura menyebabkan kekurangan itu.

Peniaga-peniaga berhasrat menjual minyak makan yang diseludupkan itu pada harga yang lebih tinggi dalam pasaran-pasaran ini, kata seorang peniaga.

Seorang peniaga lain mengaitkan kekurangan ini kepada harga minyak sawit mentah (MSM) yang tinggi kerana kebanyakan pengilang tidak dapat membeli dan menjualnya pada harga semasa.

Harga semasa MSM berlegar sekitar RM3,800 satu tan metrik.

Harga MSM di kilang adalah RM70-RM80 satu tan metrik lebih tinggi dan kebanyakan pengilang bukan sahaja tidak mampu membayar harga yang tinggi itu malah juga menjualnya pada harga terkawal sekarang.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang berkata kekurangan minyak masak tidak seharusnya berlaku di negara ini kerana Malaysia merupakan pengeksport utama produk minyak sawit.

“Kerajaan harus memantau kegiatan membeli dan menjual untuk menyelesaikan masalah ini dan menjadikan harga lebih rendah,” kata Presidennya S.M. Mohamed Idris.

Pengguna-pengguna dinasihati supaya tidak mendengar khabar-khabar angin tentang harga yang ‘bakal’ naik dan melaporkan kegiatan menyorok. — Bernama

--------------------------------------------------------------------




07 JAN - FOMCA MAHU KERAJAAN TELUS TANGANI MASALAH

minyak_masak2

KUALA LUMPUR: Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) mahu kerajaan bersikap lebih telus berhubung masalah kekurangan minyak masak di pasaran yang dilihat berlaku pada setiap hujung tahun.

Setiausaha Agungnya, Muhamad Sha'ani Abdullah, berkata masalah itu mungkin berpunca daripada Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) yang lambat mengagihkan subsidi atau tidak membayar subsidi. Ia juga mungkin disebabkan kerajaan kehabisan peruntukan subsidi tahunan, sekali gus menyebabkan pengeluar yang tidak mendapat subsidi, enggan mengeluarkan minyak masak. Selain itu, kerajaan tidak boleh mempersalahkan peniaga kecil yang membuat pembelian panik barangan ini kerana mereka memerlukan bekalan berkenaan terutama mereka yang terbabit dalam perniagaan makanan bagi memastikan perniagaan tidak terjejas.

Kita mahu kerajaan mengambil tindakan segera untuk mengatasi masalah kekurangan minyak masak. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan akhbar baru-baru ini mengenai jaminan Kabinet tidak menaikkan harga minyak masak dan bekalan itu mencukupi untuk pengguna.

Bagaimanapun, pengguna terus bimbang dengan masalah kekurangan bahan itu di pasaran sekarang apabila pasar raya dan pekedai runcit meletakkan notis tiada bekalan minyak masak di premis. Setiausaha Kerja Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, kerajaan perlu melakukan audit terhadap pengilang dan pemborong bagi mengelakkan masalah itu terus berlarutan.

Berita Disunting Daripada Sumber : Berita Harian

---------------------------------------------------------------------------

Berita TV3(5/1/2011)

Tiada kenaikan harga minyak?

Kabinet hari ini memutuskan harga minyak masak kekal buat masa ini.

Jemaah menteri juga siang tadi dimaklumkan 2 faktor penyumbang dipercayai penyebab utama kekurangan bekalan.

Datuk Ismail Sabri Yaakob / Menteri PDNKK: "Jadi cerita-cerita khabar angin menyatakan minyak masak akan naik sebelum raya Cina adalah bohong dan tak betul sama sekali. Jadi kepada pengguna yg panik, membeli secara banyak & sebagainya, cukuplah buat kerja macam tu."

2 punca kemelut bekalan minyak masak yang dimaksudkan menteri adalah kerana sebuah kilang menghentikan pengeluaran hingga menyebabkan pasaran kekurangan 4 ribu tan metrik bekalan dan penyelewengan beberapa syarikat pembekal dan pemborong yang mengambil kesempatan.

Justeru, Kementerian dengan kerjasama Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi serta Lembaga Minyak Sawit Malaysia terpaksa menambah kuota pengeluaran 14 ribu tan metrik.

-------------------------------------------------------------------------------------

Utusan Malaysia


Bendung kenaikan harga komoditi

ISU kenaikan harga barangan terus mencengkam pengguna walaupun pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) berusaha membendungnya dari semasa ke semasa.

Terkini, kekurangan bekalan minyak masak mula mencetuskan kerisauan masyarakat yang akhirnya mendorong kepada pembelian panik sehingga fenomena kekurangan bekalan minyak masak berlaku dalam pasaran.

Penduduk di beberapa buah negeri seperti di Melaka, Pulau Pinang dan juga sekitar ibu kota mula melahirkan rasa tidak puas hati dan mengadu mengalami kesukaran untuk memperoleh bekalan minyak masak.

Keadaan lebih serius apabila pemborong dan peruncit dikatakan tiada bekalan yang mencukupi, malah ada yang menganggap kekurangan bekalan minyak masak kali ini adalah yang paling terburuk dalam sejarah.

Semuanya timbul apabila ada yang mengaitkan isu ketiadaan bekalan ini dengan usaha pihak-pihak tertentu untuk menaikkan harga komoditi tersebut. Akibatnya bekalan dikatakan disorok supaya dapat memaksa kerajaan menaikkan harganya mengikut kehendak mereka.

Pada masa yang sama, aktiviti penyeludupan komoditi ini yang semakin rancak berleluasa turut dikaitkan sebagai antara punca berlakunya kekurangan bekalan minyak masak dalam negara.

Bekalan minyak masak adalah antara komoditi keperluan asas pengguna, justeru diharapkaan pihak yang bertanggungjawab terutamanya KPDNKK dapat mengambil inisiatif dan langkah yang sewajarnya untuk mengatasi kekurangan bekalan minyak masak dan sekali gus membendung kenaikan harga komoditi terbabit.

Hal ini penting kerana seperti kata Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr. Maamor Osman, kementerian yang dipertanggungjawabkan seharusnya lebih serius dalam menangani masalah itu kerana hal ini sering berulang dan mencengkam pengguna. Misalnya, ingatan kita masih lagi segar dengan krisis gula yang melanda negara pada tahun lepas.

KPDNKK dan kementerian yang bertanggungjawab memberi AP perlu mencari punca penyebab utama yang membawa kepada kekurangan bekalan seperti ini yang mencetuskan pelbagai kesan negatif seperti kenaikan harga bekalan terbabit serta kenaikan harga barangan ataupun makanan yang diperbuat menggunakan bekalan tersebut sehingga menimbulkan kemarahan rakyat.

Keadaan ini juga dilihat menjejaskan nama baik kerajaan kerana ia menunjukkan seolah-olah kerajaan tidak dapat membendung kekurangan bekalan keperluan asas pengguna serta membendung kenaikan harga barangan di pasaran.

Pada masa yang sama, kita juga berharap agar pihak pembekal, pemborong dan peruncit juga akan lebih bersikap tanggungjawab dan mengutamakan kebajikan pengguna dengan tidak sewenang-wenangnya menyorok bekalan tersebut dengan tujuan untuk menaikkan harganya.

Semoga krisis gula tempoh hari menjadi iktibar kepada semua dan sebagai pengguna, kita berharap agar pisang tidak berbuah dua kali apatah lagi menjelang musim perayaan Tahun Baru Cina tidak lama lagi.


-------------------------------------------------------------------------------------

05 JAN - PAHANG, KL KURANG MINYAK MASAK

minyak-naik

KUANTAN: Masalah kekurangan bekalan minyak masak yang sebelum ini dilaporkan berlaku di Perlis dan Kelantan, kini dihadapi pula pengguna Pahang dan sekitar ibu kota Kuala Lumpur.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Pahang, Mohd A Aruwan Abdul Aziz berkata, masalah itu berlaku di beberapa daerah berikutan spekulasi harga komoditi sawit dunia meningkat sehingga RM3,800 bagi satu tan.

Sehubungan itu, katanya, beberapa pihak terutama pengusaha industri makanan membuat pembelian panik sehingga menjejaskan bekalan. Bagaimanapun, masalah itu dijangka selesai minggu ini apabila syarikat pengeluar minyak meningkatkan penambahan 10 peratus bekalan sejak kelmarin.

Sementara itu, tinjauan di kedai runcit sekitar Pantai Dalam dan Cheras mendapati masalah itu sudah berlaku sejak dua minggu lalu, namun bekalan masih boleh didapati di beberapa pasar raya yang mengehadkan pembelian setiap pembeli.

Peniaga kedai runcit, Noriah Daud, 43, berkata, beliau menghadapi masalah bekalan sejak dua minggu lalu walaupun cuba mendapatkannya daripada pemborong serta pasar raya besar sekitar ibu kota. Katanya, ramai pengguna datang ke kedai namun semuanya merungut serta tidak berpuas hati berikutan sukar mendapatkan bekalan itu.

Pembantu kedai warga Bangladesh, Safwade, 24, berkata kedai runcitnya sudah hampir tiga minggu tidak mempunyai bekalan sedangkan sebelum ini, kedainya menerima tiga hingga empat kotak bekalan minyak masak dengan setiap kotak mengandungi 17 kampit. Sebelum ini, beliau membeli tiga atau empat kotak minyak masak untuk dijual dalam tempoh seminggu di kedai tetapi sekarang beliau hanya boleh dapatkan sekotak minyak masak.

Pengguna, Nora Saad, 49, berkata beliau sukar mendapatkan bekalan itu bagi kegunaan harian walaupun sudah pergi ke pasar raya besar dan kedai runcit berdekatan. Katanya, minyak masak botol juga sukar untuk didapati di kedai-kedai. Ibu tunggal, Ani Jasman, 57, berkata beliau kecewa kerana tidak dapat memasak berikutan kekurangan bekalan minyak.

Berita disunting daripada sumber : Berita Harian


---------------------------------------------------------------------------



Ahlan Wasahlan.

SELAMAT DATANG KE RANGKAIAN BLOG DEBAT SMAI B.MELAYU. DALAM BLOG INI, PARA PENDEBAT AKAN MEMUATKAN BERITA-BERITA SERTA SEGALA MAKLUMAT YANG DIPERLUKAN OLEH PENDEBAT.

HARAP MAAF.BLOG INI MASIH BELUM SIAP SEPENUHNYA. HARAP PARA PEMBACA DAPAT MEMAHAMI KEADAAN BLOG INI. HARAP MAKLUM.

SELAMAT MENJELAJAH.